KUALA LUMPUR: Tahun lepas, tiada penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) akibat COVID-19 namun tahun ini, buat pertama kalinya sejak 2015, HSN2021 disambut dengan mengetengahkan konsep sukan secara maya dan bersifat ‘community centric’.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, meskipun sambutan dalam norma baharu namun penyertaan sangat menggalakkan apabila pada sesi pagi sahaja, jumlah peserta yang berdaftar hampir mencecah 1.85 juta orang di seluruh negara.

Malah, beliau percaya angka sebenar rakyat Malaysia yang terlibat dengan HSN2021 jauh lebih tinggi kerana ramai yang menyahut seruan kementerian (KBS) untuk mengadakan cabaran sukan bersama rakan dan taulan.

“Walaupun secara hibrid, pelbagai program dapat juga kita laksanakan. Saya dapati, kerjasama, sokongan daripada semua kementerian, semua kerajaan negeri dan begitu banyak syarikat swasta, turut sama menyahut seruan kerajaan untuk mengadakan aktiviti.


[TERKINI] Pelancaran Hari Sukan Negara 2021

“Ia adalah untuk seluruh Keluarga Malaysia hidup aktif dan cergas bagi menjaga kesihatan masing-masing. Bukan sahaja untuk kita raikan pada satu hari tetap, tetapi supaya ia dapat terus dijalankan.

“Harapnya aktiviti-aktiviti kecergasan ini dapat diteruskan sepanjang tahun dan insya-Allah tahun hadapan, kita akan dapat sambut HSN dengan penuh gilang-gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran HSN2021 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya pada Sabtu. Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

BACA: PM beri bayangan lebih banyak kelonggaran aktiviti sukan, riadah 

BACA: Kerajaan lancar Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 


Hari Sukan Negara | Lebih banyak kelonggaran aktiviti sukan, riadah

BACA: PM Ismail Sabri sertai acara bersukan sempena HSN 

BACA: Hari Sukan Negara: 'Saya striker di zaman muda' - Dr Adham Baba 

BACA: HSN 2021 meriah disambut dengan pelbagai aktiviti sukan di seluruh negara 

Tambah Ahmad Faizal, beliau menyifatkan majlis pelancaran HSN2021 pada Sabtu "cukup berjaya".

“Saya juga telah mendapat laporan daripada pelbagai kementerian yang sama-sama menjalankan pelbagai aktiviti di seluruh Malaysia pada waktu sama.

“Malah, ada juga yang anjurkan lebih awal, meneruskan aktiviti kecergasan untuk beberapa hari yang mendatang. Itulah hasrat KBS ketika mengadakan Hari Sukan Negara ini,” ujarnya.

Objektif utama HSN2021 adalah untuk menggalakkan Keluarga Malaysia melaksanakan aktiviti sukan dalam usaha menjadikan Malaysia Negara Sukan.


Hari Sukan Negara | HSN2021 dilancarkan, meriah meskipun secara hybrid

Bahkan, program itu juga diyakini bakal menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan dengan aktiviti pembelian dan penjualan barangan sukan.

Selain pelbagai acara menarik, rakyat Malaysia yang berdaftar di www.harisukannegara.my juga akan mendapat e-sijil, tanda mereka menyertai acara sukan secara maya tersebut.