KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili anak Tun Daim Zainuddin mendakwa, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Wira Dani Abdul Daim untuk membantu dalam proses penyiasatan, sekadar mahu memancing maklumat.

Menerusi kenyataan media, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Wira Dani berkata, keseluruhan siasatan yang dilakukan, menjadi 'ekspedisi memancing' yang diselang-selikan dengan tuduhan yang tidak berasas terhadap Daim, 86.

Menurutnya, SPRM memanggil anak sulung Daim ke Ibu Pejabat Putrajaya pada Khamis, berkaitan siasatan agensi itu terhadap bekas menteri kewangan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, Wira Dani dinafikan haknya apabila pihak pembelaan tidak dibenarkan berada bersama ketika disoal siasat.

“Pegawai SPRM mengugut dengan menyatakan, jika anak guam saya berkeras mahu ditemani peguam, dia akan ditangkap dengan segera.

“Perbuatan itu keterlaluan, keji dan salah guna kuasa oleh SPRM kerana membuat ancaman penangkapan yang tidak berasas, dengan menakut-nakutkan anak guamnya,” dakwa Rajesh.

Susulan itu peguam ini menggesa SPRM, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan agar menghentikan perbuatan seumpama itu.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Selain Daim, isterinya, iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid juga didakwa atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu. - Sinar Harian