KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada satu kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta pada Rabu.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu bahawa, pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding kerana Daim telah meninggal dunia pada 13 November lalu.

Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.

Pendakwaan menghujahkan, permohonan dibuat kerana tertuduh sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.

Daim, 86, dan isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura.

Pada 29 Januari lalu, Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Allahyarham didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Semalam, isteri mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi arwah suaminya diteruskan supaya keadilan terhadap pemimpin itu terbela.

Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid menegaskan adalah menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan terhadap Allahyarham diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.

Nai'mah berkata, pihaknya tidak akan memohon dan tidak akan membenarkan mereka yang berkaitan cuba berselindung di sebalik kematian suaminya untuk mengelak mengambil tanggungjawab di atas fitnah yang berulang kali dilontarkan terhadap Allahyarham secara terbuka.

Na'imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.