Ringkasan AI
- Peguam bela Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Datuk Gurdial Singh Nijar menegaskan bahawa pertuduhan terhadap Daim tidak boleh dibiarkan tergantung dan meminta mahkamah memberikan pelepasan dan pembebasan sepenuhnya.
- Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, menyatakan bahawa kuasa untuk meneruskan kes terletak pada pihak pendakwaan dan menegaskan bahawa pertuduhan memerlukan jasad atau pihak yang dituduh.
- Mahkamah menetapkan 15 Januari untuk mendengar permohonan balu Daim, Naimah Khalid, untuk merujuk persoalan pengisytiharan aset ke Mahkamah Tinggi. Naimah dituduh mengisytiharkan pemilikan di beberapa syarikat, tanah, dan kenderaan.
Gurdial Singh ketika ditemui dalam satu sidang media pada Rabu memberitahu pertuduhan terhadap Daim tidak boleh dibiarkan tergantung.
"Memandangkan kes ini tidak diteruskan, satu-satunya perintah yang sesuai adalah seperti yang telah dibuat. Kami menggesa Mahkamah untuk tidak membiarkan tuduhan tergantung ke atas seseorang tanpa penyelesaian.
"Ini kerana ia akan terus memberi persepsi kepada keluarga bahawa beliau telah dituduh tanpa sebarang keputusan terhadap tuduhan tersebut.
"Oleh itu, kami meminta Mahkamah untuk memberikan pelepasan dan pembebasan sepenuhnya.
"Mahkamah telah bersetuju, dan bagi kami, keputusan ini merupakan pembebasan sepenuhnya daripada sebarang tuduhan yang pernah dibuat terhadap Tun Daim," katanya.
Tambah beliau, ini kerana Daim seorang yang terkenal dalam kalangan umum dan mempunyai kerjaya yang cukup lama dalam kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan beliau faham usaha pihak keluarga Allahyarham mahu membersihkan nama Tun Daim.
Wan Shaharuddin berkata, kuasa untuk meneruskan kes terletak pada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Sekiranya kita meneruskan perbicaraan, dan pada akhir kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri... bagaimana kita mahu meneruskan?
"Apabila ada pertuduhan, maka perlu ada jasad, perlu ada pihak yang dituduh," katanya.
Sementara itu, mahkamah juga menetapkan 15 Jan ini untuk mendengar permohonan balu Daim, Naimah Khalid untuk merujuk persoalan terhadap pengisytiharan aset yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi untuk ditentukan.
Naimah berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2023.
Na’imah, 66, tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca terhadapnya, di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, melepas dan membebaskan Allahyarham Daim atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta selepas bekas Menteri Kewangan itu meninggal dunia, minggu lalu.