KUALA LUMPUR: Nama Allahyarham Tun Daim Zainuddin, tokoh negarawan Malaysia, terus hidup dalam ingatan jemaah sebuah masjid di Gold Coast, walaupun berada lebih 6,000 kilometer dari tanah air.


Ringkasan AI
  • Nama Allahyarham Tun Daim Zainuddin, tokoh negarawan Malaysia, terus diingati oleh jemaah sebuah masjid di Gold Coast, Australia, atas sumbangan besar beliau kepada pembinaan masjid tersebut.
  • Pada tahun 1994, Tun Daim menyumbang AS$500,000 untuk projek pembinaan masjid di Gold Coast, yang menelan kos AS$1 juta, dan jasa beliau terus dikenang dalam doa para jemaah.
  • Tun Daim, yang meninggal dunia pada usia 86 tahun, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Malaysia dua kali dan memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi negara.


Satu video ringkas berdurasi tiga minit yang tular baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila imam sebuah masjid di Gold Coast, Australia menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Daim kepada sebuah masjid di sana. 

Dalam ucapan yang penuh emosi itu, nama Allahyarham disebut dengan penuh hormat dan rasa terhutang budi.

Imam itu menyatakan, walaupun jauh dari Malaysia, jasa Allahyarham tetap diingati dan disebut dalam doa para jemaah di sana.

"Pada tahun 1994, adik saya berkeras ke Malaysia dalam keadaan serba kekurangan dan tinggal di sana untuk beberapa bulan sebelum berkesempatan bertemu dengan Menteri Kewangan Malaysia. Dalam pertemuan itu dia menerangkan mengenai projek pembinaan masjid dan berjaya mendapat sumbangan AS$500,000 pada 1994 daripada Menteri Kewangan, nama beliau adalah Tun Daim.

"Beliau meninggal dunia pada minggu ini. Saya berkongsi kisah ini kerana mahu faham sejarah di sebalik pembinaan masjid ini yang menelan kos sebanyak AS$1 juta ketika itu.

"Sebahagian daripada masjid ini adalah milik Malaysia kerana separuhnya daripada sumbangan datang dari sumbangan Tun Daim. Mari kita sama-sama berdoa untuk Allahyarham," katanya.


Pada Rabu, Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.30 pagi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 dengan dihadiri lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, kenalan rapat, pemimpin-pemimpin negara serta orang awam.

Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.