PUTRAJAYA:Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini mengesahkan seorang pegawai Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawahnya, yang bertugas di ibu pejabat kementerian di sini didapati positif COVID-19.

Berikutan itu, MOTAC berkata semua pegawai dan kakitangan kementerian yang bertugas di bangunan ibu pejabatnya diarahkan menjalani kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah berkuat kuasa hari ini.

"Bagi menangani penularan wabak pandemik COVID-19, bangunan MOTAC di Putrajaya telah disanitasi pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) pada petang Rabu (semalam)," kata MOTAC dalam satu kenyataan.

Menurut MOTAC, KKM turut mengesahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bukan kontak rapat serta tiada kontak secara langsung dengan pegawai terbabit.

Selain itu, ujian calitan yang dijalani Nancy pada petang semalam turut mengesahkan menteri berkenaan negatif COVID-19, demikian menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun menurut MOTAC, sebagai langkah berjaga-jaga Nancy akan menjalani satu lagi ujian calitan pagi ini.

-- BERNAMA