KUALA LUMPUR: Bagi merancakkan produk pelancongan tempatan dan menarik lebih ramai pelancong domestik, Tourism Malaysia menganjurkan Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 di Kompleks Kraf di sini, bermula hari ini.

Karnival yang julung kali diadakan ini merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia dengan tema ‘Crafting Holidays’, menawarkan pelancong peluang merasai pengalaman pelancongan yang unik sambil terlibat dalam aktiviti seni, kraftangan, dan warisan budaya.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, tema ini ini bukan sahaja memanifestasikan kerjasama erat antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merancang percutian mereka sambil menikmati pengalaman pelancongan secara langsung dalam aktiviti seni, kraf tangan, budaya serta warisan tempatan.

Katanya, ia sekali gus menjadikan percutian mereka lebih bermakna dan unik.

“Selain itu, tema ini juga secara tidak langsung mengangkat aspek kelestarian pelancongan yang merupakan elemen penting dalam industri pelancongan kerana konsep ini bukan sahaja menitikberatkan impak terhadap alam sekitar, malah mencakupi aspek pengekalan budaya dan warisan dengan tidak mengabaikan penglibatan komuniti setempat.

“KCCM 2024 bukan sekadar berkisar mengenai percutian semata-mata, namun ia juga berperanan sebagai pemangkin dalam usaha memperkasakan ekonomi tempatan, karnival ini juga merupakan platform untuk para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempromosikan produk mereka di samping merancakkan industri pelancongan domestik.

“Lebih daripada 100 penggiat industri akan terlibat dalam KCCM 2024 yang terdiri daripada agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, persatuan pelancongan, pemilik hotel, taman tema dan badan pelancongan negeri selain 20 pengusaha kraf tangan dengan pelbagai pakej dan aktiviti menarik disediakan,” katanya dalam AWANI Pagi pada Jumaat.

KCCM 2024 menyasarkan seramai 10,000 pengunjung yang akan hadir pada karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Oktober dan sasaran pengunjung adalah penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, dan pelancong domestik dari Perak dan Negeri Sembilan.

Manoharan turut mengharapkan bilangan pelawat domestik akan terus meningkat sekali gus menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara dengan sasaran tahun ini kunjungan 221 juta pelawat dengan sasaran perbelanjaan domestik sebanyak RM92.7 bilion.