Ringkasan AI
- Polis membongkar tiga makmal memproses dadah dan menahan tujuh lelaki dalam lima serbuan di Iskandar Puteri dan Seri Alam, dengan nilai rampasan keseluruhan RM14.46 juta.
- Suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan dua warga Taiwan, dengan tiga daripadanya dipercayai ahli kimia yang belajar sendiri.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, dan kesemua suspek direman sehingga Khamis ini.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dalam operasi khas itu, pihaknya turut berjaya membongkar sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan pelbagai bahan dan peralatan memproses dadah di sebuah kawasan perindustrian di sini.
Beliau berkata tujuh lelaki itu terdiri daripada lima warga tempatan dan dua warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun.
"Tiga daripada suspek yang ditahan dipercayai ahli kimia (membuat dadah), namun mereka ini bukan ahli kimia bertauliah, tetapi belajar sendiri dan kita sedang buat siasatan lanjut.
"Sindiket ini dipercayai mengedar untuk pasaran antarabangsa dan aktif sejak Julai tahun lepas, dengan menggunakan rumah teres dan banglo berpagar serta berkawal di Johor Jaya dan Seri Alam sebagai makmal memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumar berkata secara keseluruhan 42.5 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 182.8kg syabu bernilai RM12.94 juta dirampas.
"Turut dirampas pelbagai peralatan dan mesin memproses dadah serta tiga kereta, sebuah lori, pelbagai barang kemas dan tiga akaun bank disita dengan nilai keseluruhan termasuk dadah dianggarkan RM14.46 juta," katanya.
Kumar berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA
