KUALA LUMPUR: Dengan bertemakan “Crafting Holidays”, Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 menawarkan pengalaman secara langsung dalam aktiviti seni, kraf, budaya serta warisan tempatan, sekali gus menjanjikan pengalaman percutian dalam negara yang lebih bermakna dan unik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, apa yang paling istimewa ialah para pengunjung yang hadir ke KCCM 2024 berpeluang untuk memilih lebih daripada 200 pakej pelancongan yang ditawarkan lebih 100 penggiat industri yang mengambil bahagian, dengan tawaran diskaun pembelian antara 15 sehingga 50 peratus.

Dianjurkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Kraftangan Malaysia serta lain-lain agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), karnival itu turut menampilkan Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan lawatan berpandu berkumpulan serta aktiviti interaktif kraf di empat buah kompleks kraf iaitu Kompleks Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Johor dan Kompleks Kraf Melaka.

"Kesemua pusat kraf setempat tersebut memiliki tarikan tersendiri merangkumi komponen seperti Pusat Jualan Kraf, Muzium dan Galeri Kraf Warisan, Perkampungan Kraf, Perkampungan Pelukis, Taman Etno Kraf dan Taman Madu Kelulut.

"Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan serta menyertai aktiviti demonstrasi dan interaktif kraf seperti kraf batik, anyaman rotan, seramik, copper tooling, pembuatan kompang dan banyak lagi," katanya dalam ucapan perasmian, pada Jumaat.

Katanya lagi, bagi memudahkan para pelancong untuk merancang percutian serta mendapatkan produk kraf di setiap negeri, aplikasi Craft On The Go (COTG) turut boleh dimuat turun serta dimanfaatkan oleh pengguna bagi mengetahui maklumat berkenaan profil usahawan, butiran produk, lokasi pusat jualan (outlet) serta akaun media sosial mereka.

Tambahnya, setakat Januari sehingga Jun 2024, prestasi pelancongan domestik merekodkan perkembangan positif apabila mencatatkan 127 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan pelancongan domestik sebanyak RM52.2 bilion.

Angka ini disasarkan akan terus meningkat kepada 241 juta pelawat pada tahun 2025 dan 261 juta orang pada tahun 2026, dengan jangkaan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM115.2 bilion.

Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 berlangsung bermula 25 Oktober sehingga 27 Oktober di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.