Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ini kerana, budaya rasuah diumpamakan seperti 'api dalam sekam' yang akan menghakis keadilan dan nilai-nilai murni, sekali gus menggugat kesejahteraan dan boleh membinasakan negara sekiranya dibiarkan.
"Suka juga untuk saya ingatkan bahawa pegawai baharu ini perlu segera melengkapkan diri dengan kemahiran serta pemikiran yang kreatif, serta sikap yang lebih positif dan responsif supaya kita terus kekal relevan dan berdaya saing.
"Saya juga ingin menyeru mereka supaya persiapkan diri sepenuhnya, kerana tugas yang menanti di SPRM akan membawa satu anjakan baru dalam kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 28 Bil. 1/2023 (Penolong Penguasa Gred P29) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.
Seramai 111 pegawai kadet Penolong Penguasa Gred P29 berjaya menjalani kursus asas dan dianugerahkan Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5) setelah selesai melengkapkan program kursus asas yang telah ditetapkan.
Ia merupakan kursus berakreditasi melibatkan kolaborasi antara SPRM dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom dengan menjalani latihan kursus asas dan pengajian professional diploma selama sembilan bulan.
Dalam pada itu, Azam berkata SPRM kini mempunyai fasiliti khusus untuk menjalani latihan asas bagi pegawai kadet ambilan baharu, sekali gus menjadikan MACA di Bandar Enstek Nilai sebuah pusat latihan asas setaraf dengan pusat latihan terkemuka lain.
Sementara itu kadet terbaik keseluruhan Mohamad Ikhmal Mohammad Huzir Affindi, 29, ketika ditemui berkata impian untuk menjadi salah seorang pegawai SPRM sejak tujuh tahun lepas, tidak akan disia-siakan.
Mohamad Ikhmal berkata selepas enam kali memohon SPRM sejak usia 21 tahun, akhirnya pada 15 Nov tahun lepas, beliau berjaya melapor diri di MACA di Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai Penolong Penguasa Gred P29 SPRM.
"Enam kali saya dipanggil untuk temuduga SPRM namun semuanya gagal, tetapi masuk kali ketujuh, tuhan permudahkan urusan dan berkat doa ibu ayah, akhirnya saya berjaya menjadi pegawai SPRM, selain dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan kursus kali ini," katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.
-- BERNAMA