Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan oleh masyarakat dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pasukan itu bagi mengurangkan kadar jenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata selain itu, komunikasi berterusan dan kerjasama yang erat antara masyarakat dan polis mampu mewujudkan persekitaran selamat dan kondusif khususnya di kawasan kediaman.

"PDRM sentiasa buka pintu dan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan daripada anggota masyarakat demi meningkatkan mutu perkhidmatan pasukan kami sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah termasuk jenayah indeks.

"Setiap anggota masyarakat juga seharusnya komited dalam bertindak sebagai mata dan telinga kepada anggota polis untuk mengawasi aktiviti jenayah di kawasan masing-masing kerana merekalah yang lebih arif terhadap sebarang bentuk perlakuan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka," katanya pada majlis Pelancaran Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Sembilan di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan Khalid dibacakan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin.

Turut hadir, Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Titan Ho Kok Yew dan Penasihat Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui.

Tambah Khalid, selain membantu menyalurkan maklumat kepada polis, persatuan seperti ini juga memainkan peranan penting dalam berkongsi informasi kepada masyarakat berkenaan aspek keselamatan serta perilaku jenayah dan cara pencegahannya.

Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Sembilan yang ditubuhkan sejak Oktober tahun lepas, kini mempunyai anggota seramai 200 orang di seluruh Negeri Sembilan.

Pada majlis itu, persatuan itu turut menerima sebanyak 10 buah basikal dilengkapi lampu LED di bahagian hadapan dan topi yang disumbangkan oleh seorang individu.

-- BERNAMA