Polis DiRaja Malaysia akan menubuhkan sebuah jabatan khas yang akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan integriti dan pematuhan standard operasi pasukan keselamatan itu dan penubuhan jabatan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penubuhan jabatan itu penting kerana usaha pemantauan selama ini dijalankan oleh agensi luar seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan masanya sudah tiba untuk pemantauan itu dibuat secara dalaman.

"Kita sudah cukup pemantauan dari luar. Kita sudah ada EAIC, SPRM tetapi apa yang diperlukan sekarang adalah satu pemantauan dalaman yang begitu tegas, begitu berstruktur untuk kita memastikan salah laku, penyalahgunaan kuasa berada di tahap paling minima," katanya dalam satu wawancara khas dengan Astro AWANI.

Jelas Khalid, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard itu akan berfungsi memastikan semua pegawai dan anggota polis sentiasa mematuhi piawaian integriti yang ditetapkan oleh PDRM.

Semua pegawai dan anggota polis akan dipantau secara rapi oleh jabatan berkenaan dan ia adalah satu tambahan kepada unit tatatertib sedia ada.

Menurut Khalid, adalah menjadi harapannya penubuhan jabatan ini akan dapat meningkatkan disiplin kerja pasukan polis serta mengurangkan salah guna kuasa.

Beliau juga berharap suatu hari nanti, pegawai dan anggota polis akan terbiasa dan menjadikan disiplin itu sebagai satu budaya kerja.

Sementara itu, Khalid memberitahu PDRM juga akan memperkenalkan satu sistem bersepadu untuk menerima dan menangani aduan terhadap pegawai dan anggota polis.

Sistem yang diberi nama Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam Bersepadu (I-SPAAA) itu akan membolehkan pengadu menyalurkan semua aduan ke satu unit sahaja tanpa perlu bimbang apakah aduan itu telah disalurkan ke jabatan yang sepatutnya.

"Semua aduan sama ada (dibuat secara) online atau persendirian akan dipusatkan ke unit ini dan unit ini akan menjawab balik," katanya.

Pada masa ini, orang ramai menggunakan pelbagai saluran untuk mengadu sehingga timbul dakwaan aduan mereka tidak sampai kepada pihak-pihak berkenaan atau mengambil masa yang terlalu lama untuk diambil tindakan.

Sistem I-SPAAA juga dihubungkan secara terus dengan Biro Pengaduan Awam secara talian dalaman berbanding prosedur sekarang iaitu BPA akan menghantar aduan-aduan itu secara manual kepada PDRM.

Menurut Khalid, sistem baru itu akan mula berfungsi selepas PDRM mengatasi beberapa masalah teknikal.