Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya mengesahkan EAIC telah hadir ke ibu pejabat JIM, untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti berkenaan.
"JIM merujuk kepada laporan media berkaitan siasatan oleh EAIC dan menyerahkan kepada EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut, serta bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
"Dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku dan tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan siasatan sindiket itu oleh EAIC sedang berjalan dan mendakwa serbuan ke bahagian visa di pejabat JIM dan rampasan dokumen untuk tujuan siasatan sudah dilakukan pada minggu lepas.
Menurut sebuah portal berita yang memetik sumber, sindiket berkenaan yang didakwa telah lama berleluasa memberi kelulusan visa perubatan kepada warga asing untuk masuk ke negara ini, kononnya atas tujuan mendapatkan perubatan.
Zakaria berkata JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti oleh anggotanya, selaras fokus utamanya untuk meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi JIM, agar kembali dihormati dan disegani.
Beliau mengalu-alukan orang ramai melaporkan salah laku pegawai Imigresen melalui talian03-8801246 atau e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
-- BERNAMA