Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata JIM memandang serius penemuan hasil siasatan EAIC bahawa terdapat unsur kekerasan dan penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan, oleh beberapa pegawai JIM bermula 2020 hingga 2021.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.
"Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, EAIC mendapati kekerasan melampau dan penderaan yang dilakukan beberapa pegawai JIM terhadap tahanan etnik Rohingya, adalah antara punca 131 tahanan meloloskan diri dari DISB, Perak pada 1 Feb.
EAIC memaklumkan perkara itu adalah antara hasil siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut berdasarkan aduan yang diterima, mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Dalam pengurusan Depot Imigresen, Zakaria berkata JIM sentiasa mematuhi ketetapan standard piawaian antarabangsa iaitu United Nation Standard Minimum Rules For The Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules).
JIM turut mematuhi ketetapan International Committee of The Red Cross (ICRC) - Healthcare in Detention, Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.
JIM mempunyai 25 buah depot imigresen termasuk Baitul Mahabbah yang meliputi 18 buah depot imigresen sedia ada, dua buah depot imigresen sementara dan lima buah Baitul Mahabbah.
-- BERNAMA