KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 38 warga asing dalam operasi di sebuah penempatan di Kampung Baru, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, mereka yang ditahan dalam operasi selama sejam yang bermula pada 2.30 pagi itu terdiri daripada 24 lelaki dan 14 wanita berumur antara 20 hingga 50-an.

Beliau berkata, Op Sapu KL Strike Force itu dijalankan oleh 35 pegawai selepas risikan selama dua minggu di lokasi terbabit berikutan aduan penduduk setempat mengenai kebanjiran warga asing.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 36 warga Indonesia dan dua warga Thailand," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut, serta kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa.
- BERNAMA