PUTRAJAYA: Caj parkir tidak lagi dikenakan kepada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bermula hari ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi ini.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata keputusan itu dibuat bagi melancarkan proses kemasukan pengunjung dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bemula Rabu lepas hingga 22 Sept ini.

"Keputusan ini juga mengambil kira jangkaan pengunjung bertambah ramai kerana cuti sekolah telah bermula," katanya.

Pengunjung MAHA 2024 sebelum ini dikenakan caj parkir RM5 melalui pembayaran secara dalam talian di laluan masuk MAEPS Serdang.

-- BERNAMA