RM48.5 juta nilai jualan langsung dicatatkan, sementara 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya dimeterai selepas 12 hari bertapak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Maklum Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Agrobank selaku penaja utama karnival yang memasuki tahun ke-100 penganjurannya itu merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion.
Katanya, MAHA 2024 turut mencatat peningkatan jualan anak benih, anak pokok dan haiwan ternakan, menyifatkan ia indikator positif bahawa minat rakyat terhadap pertanian dan penternakan semakin berkembang, selain memperlihatkan kesedaran tentang kepentingan keterjaminan makanan negara semakin meningkat.
"Angka ini bukan sekadar statistik, ia cerminan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara dan memikat perhatian ramai.
“Ia juga mengukuhkan peranannya sebagai platform unggul untuk memacu inovasi, pendidikan dan peluang perniagaan selain membina sektor pertanian berdaya saing, mampan dan bersedia untuk masa hadapan.”
Keunikan penganjuran MAHA kali ini adalah pengenalan ‘MAHA Go Global’, sebuah inisiatif untuk mengembangkan dan mempromosikan produk pertanian Malaysia ke pasaran global, yang menerima penyertaan 150 pempamer dari seluruh dunia dan kunjungan lebih 9,500 pelawat perdagangan.
Di bawah ‘MAHA Go Global’ juga, tiga persidangan dilangsungkan iaitu Kongres Keterjaminan Makanan Asia Tahunan Ke-2, Persidangan Perdagangan Eksport (TEX Talk), serta Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Agro MADANI 2024.
Persidangan-persidangan tersebut menghimpunkan para pakar dan tokoh terkemuka dalam industri tempatan dan antarabangsa seperti dari Indonesia, Rusia, Korea Selatan, Australia, Emiriah Arab Bersatu, China, New Zealand, Itali, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Penghargaan khas diberikan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atas penyertaan sulung mereka dalam MAHA, menampilkan 170 usahawan desa yang membawa pelbagai produk merangkumi pelbagai kategori, dari makanan dan minuman hingga ke kecantikan, kesihatan dan kraf tangan.
Kejayaan MAHA kali ini diharap Mohamad dapat memberikan impak positif yang ketara kepada para petani, peladang, penternak dan pengusaha agromakanan tempatan.
"Dengan pameran inovasi terkini, para petani berpeluang mendapatkan pengetahuan baharu dan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka.
"Saya yakin dan percaya MAHA akan terus menjadi platform untuk meneroka teknologi terkini, memperkembang potensi pelaburan dan pemasaran serta jalinan kerjasama dalam merencana sektor pertanian untuk 100 tahun ke hadapan.”
Beliau juga yakin MAHA sedikit sebanyak mengubah persepsi terhadap bidang pertanian terutamanya dalam kalangan generasi muda, serta menggalakkan mereka meneroka potensi dalam sektor tersebut untuk manfaat diri, masyarakat serta negara.
Sepanjang hampir dua minggu, MAHA 2024 menawarkan 48 segmen yang merangkumi pelbagai bidang pertanian, teknologi dan inovasi, antaranya “Kingdom of Fruit,” Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan, Laman Ternakan dan Laman Mekanisasi.
Penganjuran MAHA 2024 turut dimeriahkan dengan 14 Pavilion Negeri termasuk satu dari Wilayah Persekutuan, semuanya direka dengan ciri-ciri kenegerian yang unik menampilkan budaya, makanan, dan produk tempatan negeri masing-masing.
MAHA 2024 juga telah menonjolkan beberapa tarikan baharu yang telah berjaya menarik lebih ramai pengunjung seperti “Magical Night and 3D Water Show”, “Kids Attraction,” konsert “Rhythm of The Farmers,” Laman Padi Interaktif, “Sunflower Garden” dan “Floating Market.”
Bagi meraikan kejayaan luar biasa penganjurannya, sebuah kereta Perodua Axia dihadiahkan kepada pengunjung MAHA 2024 kelima juta, tajaan Agrobank.