CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua mangsa bot karam di perairan Kemaman ditamatkan pada 7 malam ini.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata operasi selama tiga hari itu ditamatkan selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha mencari akan diteruskan dalam skala lebih kecil oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu di sekitar lokasi kejadian.

"Sembilan penyelam daripada Skuadron Selam di bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia telah melakukan selaman di kawasan seluas 120 meter persegi bagi mencari badan bot.

"Walaupun jarak penglihatan baik iaitu pada jarak 10 meter dan arus laut juga normal, skuad penyelam masih gagal menemui sebarang petunjuk," katanya dalam sidang media di Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Muhammad Faisal berkata operasi hari ini meliputi kawasan pencarian seluas 407.84 batu nautika persegi melibatkan lima aset udara dan laut dengan kekuatan 80 anggota Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin.

Beliau berkata pihaknya percaya usaha pencarian gagal menemui badan bot karam kerana telah dihanyutkan arus yang kuat pada hari kejadian.

Dalam kejadian Ahad lepas, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong untuk mencandat sotong dan memancing, karam selepas dilanggar tongkang.

Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua mangsa ditemukan lemas, manakala dua lagi masih hilang iaitu Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66.

-- BERNAMA