Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata operasi yang memasuki hari ketiga akan melibatkan sektor pencarian seluas 407.8 batu nautika termasuk di laut dan udara.
Beliau berkata seramai sembilan penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan berada di lokasi kejadian hari ini untuk mengesan kedudukan bot yang karam.
"Sebanyak tiga aset laut milik Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia terlibat dalam operasi hari ini dengan bantuan dua aset udara membabitkan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan bombardier milik Maritim Malaysia.
"Kita juga sedang menunggu ketibaan bot Penggalang 16 yang ditugaskan membawa pasukan penyelam dari Kuantan dan Klang untuk tugas mengesan bot yang karam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Faisal berkata selain itu pihaknya juga mendapat bantuan lima bot nelayan yang menjalankan pencarian di sekitar laut Kemasik iaitu kira-kira 20 batu nautika dari perairan Kemaman.
"Keadaan cuaca pagi ini juga agak baik dengan kelajuan angin sekitar 30-40 kilometer sejam dan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter," katanya.
Dua lagi mangsa iaitu Yusuf Kassam, 66, dari Raub, Pahang dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dari Selayang, Selangor masih belum ditemui.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Ahad sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong dan dua kru dilaporkan karam akibat dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh nautika atau 13 kilometer dari pantai perairan Kemaman.
-- BERNAMA