Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 11.49 pagi dengan mangsa yang berusia 70 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.
Beliau berkata apabila sampai di lokasi nahas, kereta jenis Perodua Myvi dipandu anak lelaki mangsa berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.
"Mangsa yang duduk di sebelah pemandu tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta itu pula cedera di kepala dan tangan manakala abangnya yang berusia 41 tahun cedera di leher dan kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Muhamad berkata kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan manakala mayat warga emas itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
-- BERNAMA