IPOH: Polis menafikan berlakunya kejadian bot pelancong karam di pusat peranginan Pulau Pangkor, seperti yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu pada 9 pagi tadi.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian tersebut bukan berlaku di Pulau Pangkor sebaliknya berlaku di luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang tidak benar hingga mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial yang mendakwa berlakunya feri terbalik dengan pelancong di atas kapal di Pulau Pangkor.

-- BERNAMA