KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa hilang dalam kejadian bot regata karam di Sungai Sarawak, yang memasuki hari kedua tidak menemukan sebarang petunjuk setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan 10 selaman setelah mengesan objek di dasar sungai, namun kesemuanya menunjukkan keputusan negatif dengan penglihatan sifar.

"Kita juga membuat rondaan bot melibatkan 21 aset di sepanjang lebih kurang 10 kilometer dari baraj Sungai Sarawak ke lokasi tempat kejadian serta dua dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), namun setakat ini tidak jumpa apa-apa lagi.

"Kita juga menerima bantuan daripada empat kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Sukan Jetski Sarawak, Pasukan Bomba Sukarela, Kelab Memancing Sarawak serta orang kampung untuk operasi ini," katanya pada sidang media di pusat SAR di Royal Bay Commercial Centre di sini hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan terlebih dahulu berkaitan perkembangan terkini hari kedua SAR yang ditangguhkan pada 6 petang tadi.

Mohd Farhan berkata seekor anjing dari Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) bernama 'Bella' dan sebuah helikopter PGU JBPM akan digunakan pada hari ketiga SAR yang bermula seawal 6 pagi esok bagi meneruskan usaha mengesan kelima-lima mangsa.

"Kita akan menggunakan beberapa kaedah baharu seperti unit K9 JBPM yang akan digerakkan ke lokasi kejadian seawal 6 pagi supaya tiada gangguan seperti bau minyak yang mengganggu sensitiviti deria bau unit K9.

"Kita juga akan meletakkan pihak pemantauan petugas di baraj Sungai Sarawak dan tambahan satu aset PGU helikopter untuk bantu kita hingga di Bako, jadi mudah-mudahan kawasan pencarian nanti akan lebih menyeluruh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang semalam, lima peserta regata yang sedang menjalani latihan dikhuatiri lemas selepas bot mereka karam susulan gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa.

Hanya 11 daripada 16 peserta regata yang juga petugas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya menyelamatkan diri.

Lima mangsa yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23, dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Kesemua peserta itu sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 yang dijadual diadakan pada 1 hingga 3 Nov ini.

-- BERNAMA