KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali bagi membantu siasatan dalam Op Global. 

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain tidak memaklumkan bila Nasiruddin akan dipanggil sambil menegaskan ia akan ditentukan sendiri kelak oleh pihak polis.

Beliau pada masa sama menafikan pihak polis ada melakukan perbincangan dengan pihak GISBH.

“Perbincangan dengan saya tiada, dengan Datuk Seri (Shuhaily) pun tiada. Jadi kita tak tahu. Dengan siapa dia berjumpa, dia tak beritahu.

"Dia akan dipanggil. Di situ nanti kita akan siasat dengan siapa dia bertemu, berbincang atau buat kolaborasi,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kementerian Kesihatan telah selesai menjalankan saringan kesihatan terhadap 392 mangsa kanak-kanak yang diselamatkan.

Daripada jumlah itu, seramai 202 mangsa adalah kanak-kanak lelaki manakala 192 adalah kanak-kanak perempuan.

“Hasil daripada saringan, memang kita dapati ada elemen-elemen dari sudut jenayah fizikal dan emosi telah berlaku.

“Ia memerlukan penilaian lanjut dari segi penilaian emosi terhadap mangsa yang kita selamatkan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, elemen jenayah yang dikesan ialah penderaan fizikal dan emosi, pengantunan (child grooming) dan buruh kanak-kanak, dipaksa bekerja ketika umur belum sampai 18 tahun.

Selain itu, polis juga mengenal pasti wujud unsur pengabaian terhadap mangsa yang seterusnya membawa kepada malnutrisi kepada kanak-kanak tersebut.