Ringkasan AI
- Farid Kamil melantik peguam sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi sebutan kes penceraian bersama isterinya, Diana Danielle, yang akan dijalankan di pejabat agama.
- Farid mengekalkan pendirian untuk tidak menceraikan isterinya dan berharap kepada doa yang terbaik untuk masa depan serta proses pendamaian ini akan membantu mencari penyelesaian.
- Mahkamah menetapkan 24 Mac sebagai tarikh sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak, dengan Farid dan Diana diberi peluang untuk berdamai atau berbaik semula.
Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dalam tempoh tersebut tiada sebarang halangan sekiranya pasangan itu mahu berdamai atau berbaik.
"Prosiding berjalan seperti biasa dan kita sudah selesaikan pelantikan JKP. Bagi pihak Farid kita lantik peguam sebagai wakilnya, proses JKP akan dijalankan di pejabat agama dan tarikh keputusan masih sama sebelum ini iaitu 24 Mac.
"Tiada masalah jika (Farid dan Diana) mahu berbincang untuk berdamai atau berbaik semula kerana pasangan masih lagi suami isteri. Apa pun tunggu sahaja proses seperti mana yang diarahkan oleh mahkamah," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu, Farid berkata, dia masih kekal dengan pendirian untuk tidak menceraikan isterinya dan mengharapkan doa daripada semua pihak.
"Alhamdulillah, proses hari ini berjalan lancar. Saya mengharapkan doa yang terbaik untuk masa depan.
"Proses JKP merupakan proses biasa di peringkat mahkamah untuk pendamaian bagi mencari jalan penyelesaian untuk mendapat keputusan terbaik. Saya hanya perlukan doa yang baik-baik dan pendirian masih kekal (bersama Diana)," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Farid, 43, selaku defendan, perlu hadir ke mahkamah bersama wakil JKP pada Selasa susulan keputusannya yang tidak mahu meneruskan penceraian.
Diana selaku plaintif, dikecualikan kehadiran pada sesi berkenaan selepas melantik rakannya sebagai wakil JKP.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi aplikasi ‘Google Meet’ pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk semula sebulan kemudian.
Tidak bertahan lama, rumah tangga pasangan ini diuji lagi, apabila Diana memfailkan permohonan cerai buat kali kedua terhadap Farid pada 4 November lalu. -- Sinar Harian