KUALA LUMPUR: Farid Kamil perlu sedar bahawa rumah tangganya tidak dapat diselamatkan lagi.


Ringkasan AI
  • Diana Danielle menegaskan bahawa rumah tangganya dengan Farid Kamil tidak dapat diselamatkan lagi dan menganggap tindakan suaminya enggan melafazkan cerai sebagai menjengkelkan.
  • Farid Kamil enggan melafazkan cerai pada sebutan kali kedua kes penceraian mereka, menyebabkan mahkamah memerintahkan mereka melantik wakil Jawatankuasa Pendamai.
  • Diana memohon Farid untuk realistik dan tidak menangguhkan perceraian ini kerana ia ibarat menganiaya dirinya, dan mahkamah menetapkan 24 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes.


Itu penegasan pelakon Diana Danielle yang menganggap tindakan suaminya enggan melafazkan cerai sebagai memualkan.

"Bagi saya, tindakan dia hari ini amat memualkan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Dia berangan, tiada apa untuk diselamatkan.

"Bila saya sudah rujuk dengan dia selama setahun, bukankah itu satu peluang untuk berdamai dan perbaiki, tetapi dia gagal melakukannya.

"Jadi apa perlu saya lakukan sekarang? Adakah terus berharap sedangkan sudah terlalu banyak harapan diberi.

"Bagi saya, ini semua membuang masa kami berdua dan benda ini tidak akan ke mana-mana kerana saya sebulat hati mahukan perceraian ini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, sebentar tadi selepas Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin memerintahkan mereka melantik wakil Jawatankuasa Pendamai.

Ia selepas Farid Kamil Zahari, 43, enggan melafaz cerai terhadap isterinya itu pada sebutan kali kedua kes penceraian mereka hari ini.

Mengulas lanjut, Diana, 34, memohon Farid agar "tidak dibuai mimpi dan berpijak di bumi nyata" dengan tidak menangguhkan perceraian ini kerana ia ibarat menzalimi dirinya.

"Saya rasa dia perlu faham sudah tiba masanya untuk lepaskan saya. Tiada alasan dan percubaan lagi.

"Berpijaklah di bumi yang nyata, lepaskan dan jangan zalimi saya lagi. Saya rasa semua ini buang masa sebab tiada apa yang akan berubah, malah hidup akan diteruskan seperti biasa.

“Saya akan hadir ke mahkamah dan mahu mendapatkan apa yang saya mahu iaitu perceraian. Ceraikan saya, itu sahaja. Saya terima semua ini tetapi kenapa dia mahu lakukan cara ini,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac tahun depan untuk sebutan semula dan laporan JKP kedua-dua belah pihak.