Sebaliknya, kata beliau, hasil siasatan yang dilakukan pasukan tersebut mendapati mendiang telah mengalami tekanan akibat beban kerja, walaupun tugasan itu masih terkandung dalam skop huraian kerja beliau.
Borhan berkata, hasil dapatan itu diperoleh selepas membuat temu bual terhadap 19 orang saksi, terdiri daripada empat ahli keluarga mendiang, 11 kakitangan Hospital Lahad Datu, termasuk empat saksi lain dan pengadu, iaitu Ketua Jabatan Patologi hospital tersebut.
Selain itu, pasukan tersebut turut menyemak 41 dokumen berkaitan, termasuk gambar, video, laporan perubatan dan laporan polis, serta membuat lawatan ke lokasi tertentu termasuk Hospital Lahad Datu dan rumah mendiang sendiri.
“Isu pertama, mendiang telah dibebani dengan beban kerja dan tugasan pakar di luar skop, terlalu berat dan sebagainya. Hasil siasatan kita, kita dapati tugasan yang dilakukan mendiang seperti mana ditetapkan dalam senarai tugas atau 'JD' beliau. Dan tidak ada satu-satunya yang kita dapati di luar skop atau bidang tugas.
“Selaku Timbalan Ketua Jabatan (1), Dr Tay juga menguruskan perolehan, isu penjagaan stor dan sebagainya. Kita nampak di situ, tidak timbul berdasarkan pada bukti dokumen dan daripada temu bual itu kita tidak nampak sebarang isu berkaitan dengan beliau dibebankan dengan kerja terlalu banyak begitu juga dengan tugas-tugas dalam skop,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya, pada Rabu.
Media pada Ogos tahun lepas melaporkan tentang insiden seorang pakar di hospital itu ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.
Susulan dakwaan tersebut, Dr Dzulkifly mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.
Selain Borhan selaku pengerusi, pasukan itu turut dianggotai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Datuk Siti Hamisah Tapsir, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan yang juga bekas Penasihat Undang-Undang KKM Datuk Mohamad Fazin Mahmud.
Ahli lain termasuk Pakar Patologi dan Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Chan Lai Fong.
Dalam pada itu, Borhan berkata, selain dakwaan dibuli dan dibebani dengan tekanan kerja melampau, pasukan petugas khas turut melihat dakwaan bahawa ketua jabatan tersebut menzalimi mendiang, selain mendiang pernah memohon untuk kembali ke Semenanjung Malaysia.
“Kita dapati berdasarkan siasatan, tidak timbul dakwaan, mereka kerja secara profesional, ada group chat, ini dibuktikan dengan temu bual rakan dan pegawai bawahan seperti pegawai perubatan dan sebagainya.
“Jadi tak timbul soal bahawa beliau dizalimi, tidak terdapat sebarang insiden yang diadukan kepada kita melalui temu bual itu bahawa penyandang atau Ketua Jabatan ini dan juga mendiang dilihat bertengkar bergaduh dan sebagainya. Itu kita dapat garapkan.
“Isu keempat, dakwaan bahawa Dr Tay ini ada memohon untuk dikekalkan di Semenanjung, tidak mahu bertukar atau mahu berada di Semenanjung. Hasil dapatan kita, memang tidak ada pun dari Bahagian Sumber Manusia atau Jabatan Kesihatan, tidak ada appeal atau rayuan sebagaimana yang didakwa,” katanya lagi.
Dalam pada itu Dr Dzulkifly berkata, beliau sedar dan insaf tentang tekanan kerja yang dialami Dr Tay, biarpun ia sememangnya memenuhi huraian kerja mendiang, dan sama ada keputusan dapatan tersebut dapat diterima oleh ahli keluarga mendiang.
“Saya insaf dan sedar tentang elemen work stress dan work pressure yang didepani dan ditanggung mendiang Dr Tay, itu yang utama yang muncul dalam dapatan siasatan ini.
“Saya sebagai Menteri, saya akan mengambil tindakan khasnya dalam apa yang disebutkan oleh setting resource limited berbanding sewaktu mendiang kerja di Hospital Kuala Lumpur, dan berpindah ke Hospital Lahad Datu yang mengalami batasan sumber. Itu antara sebab punca utama stress dan work pressure.
“Saya akan ambil tindakan susulan bagaimana nak baiki keadaan dan tekanan seperti itu yang terpaksa didepani sistem kesihatan awam, terutama pakar jabatan patologi,” katanya lagi.