Mengenakan jubah hitam, Diana tiba sekitar pukul 9 pagi ditemani peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Pada awalnya, pelakon filem Imaginur ini enggan memberi sebarang kenyataan kepada pihak media yang menanti di perkarangan mahkamah seawal 8.30 pagi.
Namun begitu, sejurus disapa, Diana memberikan kenyataan ringkas dengan menyatakan harapan urusan perceraiannya dipermudahkan.
“Saya harap yang terbaik untuk kami berdua. Saya rasa kalau panjang-panjang tak perlu.
“Saya berserah, sebab apa yang kita buat hanya merancang dan selebihnya kita tengok apa yang penghujungnya,” katanya.
Akberdin pula berkata permohonan itu dibuat susulan tiada persefahaman.
“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudian,” katanya.
Kemelut rumah tangga pasangan ini menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan nekad memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Namun begitu, Farid masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka dan mengakui masih menyayangi Diana dan anak-anaknya.
Sebelum ini, pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Pasangan ini kemudian sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun rujuk sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.