PELAKON Diana Danielle memilih untuk tidak mengulas berhubung prosiding pengesahan rujuk dan permohonan perceraian terhadap suaminya iaitu aktor Farid Kamil. 

Diana yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 9.19 pagi, Rabu berharap prosiding dipermudahkan. 

Dalam pada itu, peguam Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, prosiding pada hari ini merupakan pengesahan rujuk dan cerai. 

“Hari ini, ada dua permohonan iaitu rujuk dan cerai. Akan teruskan dengan rujuk dulu dan kemudian diikuti cerai. 

“Kedua-dua belah pihak perlu hadir ke mahkamah hari ini,” kata Akberdin kepada Gempak. 

Sementara itu, Farid yang hadir ke mahkamah pada 9.35 pagi memakai baju putih dan bersongkok dengan reben putih memohon doa dipermudahkan urusan. 

“Saya harap semua dapatkan doa yang terbaik, Insya-Allah,” ujarnya. 

Sementara itu, Farid Kamil dilihat berselawat sementara menunggu prosiding pengesahan rujuk dan permohonan perceraian yang difailkan isterinya, aktres Diana Danielle.

Sebelum ini, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.

Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah mendakwa sega janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak pernah tertunai.

Pada 4 November lalu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bersama peguam untuk memfailkan perceraian terhadap Farid Kamil. - Gempak