DAMSYIK : Setelah 14 tahun dilanda perang saudara yang meragut nyawa dan memusnahkan infrastruktur, Syria kini seperti berada dalam sebuah hard reset.

Segalanya bermula apabila saya tiba di Damsyik pada Isnin, melalui penerbangan komersial Syrian Air dari Doha.

Walaupun ini mungkin kelihatan seperti perjalanan biasa, pengalaman pertama saya di Syria pasca perang adalah sesuatu yang luar biasa dan penuh persoalan.

Ketika tiba di bahagian imigresen, segalanya terasa seperti berada di dalam sebuah sistem yang sedang diuji.

Prosesnya hampir sama seperti mana-mana negara lain, tetapi ia seolah-olah beroperasi dalam mod percubaan.

Pegawai imigresen di situ tampak tidak yakin, seperti sedang menunggu arahan daripada pihak atasan mereka untuk membuat setiap keputusan.

Kami, sekumpulan kecil rakyat Malaysia, satu-satunya pelawat asing yang tiba pada masa itu.

Dalam suasana yang sunyi, saya dapat merasakan bahawa negara ini masih cuba memahami bagaimana untuk menerima kehadiran dunia luar semula.

Kemudahan asas masih lumpuh

Syria hari ini adalah sebuah negara yang terpaksa bermula semula dari awal.

Banyak kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem pengangkutan awam masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Di Damsyik, bekalan elektrik hanya mampu dibekalkan selama dua jam sehari dan baki tempoh lain terpaksa menggunakan bekalan alternatif untuk meneruskan hidup.

Rutin masyarakat masih sibuk bergelut dengan aktiviti harian termasuk peniaga yang semuanya menjalankan operasi perniagaan secara tunai.

Harapan dan ketidakpastian

Namun, di sebalik kerosakan dan kepayahan, terdapat juga rasa optimis yang perlahan-lahan muncul.

Penduduk tempatan yang ditemui sudah mula berkongsi harapan mengenai hasrat dan keinginan untuk kembali membina kehidupan mereka.

Rata-rata mereka yang saya temui menarik nafas legas dengan kejayaan ‘membebaskan’ negara daripada pemerintahan rejim Bashar al-Assad.

Kepada rakyat tempatan, peluang yang lebih baik bakal muncul walaupun mereka tahu perjalanan ini tidak mudah, namun, semangat dan harapan jitu tersemat di dalam diri masing-masing untuk memastikan generasi akan datang tidak mewarisi luka dan derita peperangan yang pernah diharungi.

Dalam masa sama, penduduk tidak menolak harus berhadapan cabaran yang menanti di depan bukan sekadar mahu meneruskan hidup, tetapi tata kelola dan operasi pentadbiran kerajaan juga perlu disusun semula.

Syria juga perlu menghadapi cabaran geopolitik, sekatan ekonomi dan jurang kepercayaan antara pelbagai pihak yang terlibat dalam perang.

Mod percubaan ke arah pemulihan

Melangkah keluar dari imigresen pada hari itu, saya menyedari bahawa Syria bukan hanya dalam mod percubaan di peringkat imigresen tetapi juga dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Negara yang disifatkan ilmuwan Islam sebagai bumi penuh keberkatan  ini sedang mencari jalan untuk berdiri semula, walaupun langkahnya masih goyah.

Sebagai saksi kepada permulaan baharu ini, saya hanya mampu berharap dunia tidak melupakan Syria.

Mereka memerlukan sokongan, bukan hanya untuk memulihkan bangunan yang runtuh tetapi juga untuk menyembuhkan jiwa yang telah terlalu lama menderita.

Syria adalah sebuah pelajaran tentang ketahanan manusia - walaupun selepas bertahun tersepit dalam jurang kehancuran, mereka masih berjuang untuk terus hidup.

Syria pasca perang bukanlah destinasi pelancongan yang ideal.

Namun, bagi sesiapa yang ingin memahami makna sebenar harapan, keberanian, dan ketabahan, Syria merupakan tempat yang penuh makna dan pengajaran.

Kepada anda yang mahu bersama-sama membantu rakyat Syria, anda dipelawa untuk melayari https://jomsedekah.com/donations/winteremergency2024/.



* Hilal Azmi kini berada di Syria bersama pasukan dari Global Peace Mission Malaysia untuk Misi Musim Sejuk.