KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan reman dua orang individu termasuk seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada syarikat-syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat-syarikat tersebut mendapatkan kelulusan yang dimohon .

Perintah reman selama enam hari sehingga 26 Januari 2025 dikeluarkan  Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019 hingga 2024.

“Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.