Perkara itu dimaklumkan oleh sumber SPRM kepada sekumpulan pengamal media yang menunggu di hadapan ibu pejabat SPRM kira kira jam 9.30 pagi tadi.
“Datin Vivy dan Datuk Fadza akan hadir pada jam 2 petang ini,” katanya ringkas.
Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri tersebut akan hadir pada pukul 10 pagi bagi menyambung sesi memberi keterangan yang sudah memasuki hari ketiga.
Pada Rabu, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish' telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
Selain itu beberapa tas beg tangan dan seutas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000 turut disita dari premis pasangan tersebut.