PUTRAJAYA: Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) akan memposisikan Malaysia sebagai juara kuasa ketiga dan membolehkan kolaborasi bernilai tinggi dengan kuasa-kuasa besar dunia.


Ringkasan AI
  • Berikut adalah tiga ringkasan utama mengenai Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) di Malaysia:
  • Posisi Malaysia sebagai Juara Kuasa Ketiga: NSS bertujuan memposisikan Malaysia sebagai kuasa ketiga dalam industri semikonduktor dan membolehkan kolaborasi bernilai tinggi dengan kuasakuasa besar dunia.
  • Menarik Pelaburan dan Kolaborasi Antarabangsa: Pendekatan NSS akan meningkatkan nilai strategik Malaysia dan menarik lebih banyak pelaburan serta kolaborasi antarabangsa.
  • Fokus pada Industri Tempatan dan Rantaian Nilai: NSS mengambil kira perkembangan semasa hubungan Amerika SyarikatChina dan kesan pandemik COVID19. Malaysia akan menjadi lokasi tumpuan bagi bakat global, menghubungkan teknologi hari ini dengan inovasi masa depan, dan mencipta rantai bekalan yang berdaya tahan.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pendekatan ini akan meningkatkan nilai strategik Malaysia seterusnya menarik lebih banyak pelaburan dan kolaborasi antarabangsa.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai sasaran NSS ini, Tengku Zafrul berkata Malaysia akan menjadi lokasi tumpuan menarik bakat global, menjadi hub menghubungkan teknologi hari ini dengan inovasi masa depan dan mencipta rantai bekalan yang berdaya tahan.

Menurutnya, tumpuan NSS ini mengambil kira perkembangan semasa mengenai hubungan Amerika Syarikat-China dan mengambil iktibar daripada kesan pandemik COVID-19 yang telah melumpuhkan rantaian bekalan semikonduktor

“Sebagai langkah mitigasi kepada risiko geopolitik dan gangguan rantaian bekalan ini, banyak syarikat-syarikat seluruh dunia mencari kaedah untuk menyusun semula rantaian bekalan mereka. 

“Syarikat-syarikat mencari tempat yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk operasi rantaian bekalan mereka. Dinamik ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh industri Elektrik dan Elektronik (E&E). Kita perlu bertindak sekarang dan ambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Rabu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Malaysia mempunyai ekosistem yang matang dalam Khidmat Luar Pemasangan dan Pengujian Semikonduktor (Outsourced Semiconductor Assembly and Test; OSAT). 

Malaysia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, dengan lebih 50 tahun pengalaman dan banyak syarikat yang telah bertapak di Malaysia sebagai pusat operasi.

"Kita mahu gariskan tumpuan dalam Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) ialah untuk naik taraf industri semikonduktor tempatan dalam rantaian nilai. 

“Kita ingin beri tumpuan kepada peluang bernilai tinggi dalam rantaian tersebut. Ini termasuklah reka bentuk litar bersepadu (IC), pembuatan nilai tinggi dan pengeluaran alatan. 

"Posisi semasa kita dalam rantaian tersebut adalah tertumpu kepada kekuatan kita dalam bidang OSAT. 

“Banyak syarikat-syarikat di Malaysia terlibat dalam pengeluaran pakej IC pihak ketiga dan perkhidmatan yang tertumpu kepada teknologi nodus matang (matured node technology),” jelasnya.

Oleh yang demikian, Tengku Zafrul berkata tumpuan Kerajaan melalui NSS ini adalah untuk meningkatkan kapasiti syarikat tempatan daripada mengeluarkan reka bentuk litar bersepadadu (IC) berkompleksiti rendah kepada reka bentuk dengan kompleksiti lebih tinggi. 

Seterusnya, menarik pelaburan dalam teknologi nodus matang lebih tinggi daripada 28nm, menumpukan kepada tujahan pasaran menghasilkan perkakas jitu (precision equipment) dan beralih daripada bidang OSAT kepada rantaian nilai lebih tinggi.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NSS akan menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dalam fasa pertama pelan tersebut.


[LANGSUNG] Butiran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) I 29 Mei 2024