GEORGE TOWN: Pelan Tindakan Bakat Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Pulau Pinang yang dilancarkan hari ini, akan dimasukkan ke dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelan tindakan itu juga akan disokong oleh sebahagian daripada RM25 bilion yang diperuntukkan untuk menggerakkan strategi semikonduktor manakala penyepaduan itu menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan serantau.

"Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang adalah contoh terbaik pendekatan seluruh negara untuk menangani cabaran dan merebut peluang dalam landskap perindustrian Malaysia yang berkembang pesat.

"Pelan tindakan ini selaras dengan sempurna dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), NSS dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS)," katanya pada pelancaran pelan tindakan itu di Tech Dome Penang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, Ahad malam.

Tengku Zafrul berkata Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang juga menyokong salah satu sasaran NSS iaitu untuk melatih dan memupuk 60,000 jurutera Malaysia yang berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata kementerian telah menjadikan pendidikan STEM sebagai salah satu pemboleh utama bagi strategi perindustrian semula Malaysia kerana tiada negara boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju global dalam industri teknologi tinggi tanpa tenaga STEM yang mencukupi.

Beliau berkata industri seperti semikonduktor, elektronik dan teknologi hijau pantas menjadi pemacu kritikal pertumbuhan ekonomi global, Malaysia sudah menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

"Bagaimanapun, industri semikonduktor dan banyak sektor lain yang kita mahu bangunkan seperti aeroangkasa, peranti perubatan, farmaseutikal dan ekonomi digital, menghadapi cabaran global yang ketara iaitu masalah bakat (pekerja berkemahiran).

"Sehubungan itu, wujud keperluan untuk membangunkan bakat berkemahiran yang mampan," katanya.

Tengku Zafrul berkata Pulau Pinang terus menarik pelaburan bernilai tinggi dalam semikonduktor dan industri berkaitan termasuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Pelan tindakan itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan diserahkan kepada Tengku Zafrul.

Sasaran utama yang boleh diukur untuk Pelan Tindakan Bakat STEM termasuk menambah jumlah pendaftaran STEM di sekolah menengah, output universiti untuk STEM, output Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan STEM dan golongan wanita dalam pendidikan STEM selain menambah bilangan pekerjaan yang bernilai tinggi.

Untuk mencapai matlamat ini, pelan tindakan mengguna pakai model rangka kerja holistik untuk membina bakat STEM yang mantap dari pendidikan rendah hingga pasca pengajian tinggi.

-- BERNAMA