KUALA LUMPUR: Seiring Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar global dalam industri itu di dekad akan datang, kalangan penggiat sektor itu turut bersemangat dalam meningkatkan kedudukan dalam rantaian berkaitan.


Ringkasan AI
  • Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) menaikkan Malaysia sebagai kuasa global dalam industri semikonduktor. Industri tempatan dan antarabangsa yakin dengan peluang perniagaan yang besar hasil daripada NSS.
  • NSS menyokong pembangunan industri semikonduktor Malaysia secara global. Pengumuman oleh Perdana Menteri menunjukkan komitmen negara dalam mengembangkan industri ini dengan peruntukan sebanyak RM25 bilion.
  • NSS membuka peluang kepada pemain tempatan untuk mengambil kelebihan daripada inisiatif ini. Malaysia perlu meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan melibatkan pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi dalam industri semikonduktor.


Penggiat industri, baik di peringkat tempatan serta antarabangsa, juga yakin dengan peluang perniagaan memberangsangkan hasil limpahan daripada NSS yang seharusnya diteroka secara strategik atau sebaliknya ketinggalan.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata NSS tidak hanya menyokong dan meningkatkan lagi rantaian nilai negara di peringkat global, tetapi akan turut memacu teknologi pembungkusan, peralatan dan automasi maju.

Beliau menyifatkan pengumuman NSS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di acara SEMICON Asia Tenggara 2024 pada Selasa lepas, turut membuktikan kesungguhan Malaysia dalam membangunkan industri semikonduktor ke tahap lebih tinggi.

"Malah, hakikat bahawa kerajaan memperuntukkan sejumlah RM25 bilion dalam sokongan semua usaha NSS, menjadi bukti sebenar komitmen negara terhadap industri semikonduktor dan mahu ia terus berkembang.

"Peluang ini amat besar berikutan industri ini dijangka berkembang mencecah U$1 trilion (RM4.71 trilion) (dalam pendapatan) menjelang 2030 di peringkat global. Ada pihak turut mengunjurkan bahawa ia (pendapatan) akan melangkaui angka itu apabila mencecah tempoh 2050," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SEMICON Asia Tenggara 2024, acara terbesar menghimpunkan syarikat rantaian bekalan dalam industri semikonduktor dan elektronik, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Wong menggesa pemain tempatan untuk memanfaatkan dan merebut kelebihan serta peluang daripada NSS.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pelaburan Asing dan Perdagangan Antarabangsa di organisasi awam Belanda Brabant Development Agency (BOM) Daan de Cloe berkata pengumuman NSS itu jelas memaparkan impian kukuh Malaysia untuk terus berkembang dalam industri berkenaan.

De Cloe berkata penggiat industri semikonduktor Belanda misalnya mempunyai pengetahuan dan teknologi mencukupi serta bersedia untuk membina ekosistem bersama di Malaysia selain turut menyumbang kepada pertumbuhannya.

Beliau turut menyifatkan industri semikonduktor Malaysia berkembang secara ketara sejak beberapa dekad lepas.

"NSS akan meningkatkan daya tarikan bagi syarikat asing ke Malaysia dan melabur serta berkongsi pengetahuan mengenai semikonduktor," katanya.

Pada masa sama, De Cloe berharap Malaysia berupaya melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan.

"Kita juga berharap mendapat bakat mencukupi dan juga membina tenaga kerja kemahiran untuk mewujudkan rantaian bekalan dan rantaian bekalan teknologi tinggi yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Zilian (Malaysia) Sdn Bhd, Kon Qi Yau bersetuju dengan inisiatif kerajaan membangunkan hab penyelidikan dan pembangunan (RD) global untuk semikonduktor yang melibatkan universiti, korporat dan pusat kecemerlangan bertaraf dunia serta melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia yang berkemahiran tinggi.

Kon juga berharap inisiatif ini akan melibatkan pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi.

"Kita memerlukan tenaga kerja mahir berikutan sejak 15 tahun lepas, Malaysia hanya menumpukan penyumberan luar pemasangan dan pengujian semikonduktor.

"Oleh itu, apabila kita mahu berada di barisan hadapan fabrikasi wafer, kita pasti perlukan lebih ramai orang teknikal di bahagian itu," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian berkata penelitian kekuatan negara-negara Asia merentasi rantaian nilai semikonduktor, jelas menunjukkan kelebihan daya saing Malaysia pada reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan pembuatan peralatan.

"NSS harus dipuji kerana dapat mengenal pasti aspek ini sebagai sesuatu yang strategik untuk dimanfaatkan oleh Malaysia. Kita perlu bersifat strategik dengan sasaran pelaburan langsung asing bernilai RM500 bilion bagi memastikannya merangkumi peluang penyertaan tempatan dalam rantaian bekalan, ekuiti, teknologi serta harta intelek (IP).

"Peruntukan RM25 bilion dalam sokongan fiskal juga secara langsung dapat merangsang syarikat pemula niaga dan keusahawanan tempatan," katanya.

Loo berkata bahawa sumber manusia juga perlu mengambil pendekatan holistik bagi menangani kekurangan aspek teknikal semasa dan mewujudkan perancangan mampan dari segi bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sewaktu melancarkan NSS, Anwar yang juga Menteri kewangan berkata antara perniagaan yang disasarkan menjadi tumpuan Malaysia dalam NSS adalah reka bentuk IC, pembungkusan maju dan peralatan pembuatan serta fabrikasi wafer.

NSS, yang disifatkan sebagai strategi yang mantap, tangkas, inklusif serta berwawasan atau berpandangan jauh untuk industri semikonduktor, merangkumi tiga fasa dalam usaha memupuk kerjasama dengan syarikat di seluruh ASEAN, rantau Asia dan peringkat global.

-- BERNAMA