Perlu gandakan usaha ke arah mencapai matlamat bagi pelucutan senjata pemusnah besar-besaran, khususnya senjata nuklear, secara umum dan sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) telah meningkatkan usaha untuk mengetengahkan isu keselamatan nuklear, proses pelucutan senjata nuklear juga perlu dipercepatkan kerana senjata nuklear terus menjadi satu daripada ancaman terbesar kepada manusia.

"Kita juga perlu memantapkan kapasiti untuk memastikan kawalan efektif dan melaksanakan tindakan lebih awal untuk memastikan keselamatan nuklear," katanya pada sidang pleno Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear Ke-4 di Pusat Konvensyen Walter E Washington di sini, Jumaat.

Sidang kemuncak dua hari itu disertai 53 negara dan empat organisasi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) yang berakhir pada Jumaat.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama (tengah) bergambar bersama ketua delegasi daripada 53 negara yang menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear 2016 di Amerika Syarikat Jumaat.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerjasama juga perlu dipertingkatkan dalam pembinaan kapasiti serta berkongsi maklumat, risikan semasa dan menguna pakai amalan terbaik dalam usaha bersama untuk memastikan bahan-bahan nuklear tidak jatuh ke tangan yang salah seperti aktor tanpa negara dan organisasi pengganas.

Beliau berkata Malaysia, sebagai negara pihak dalam Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan negara anggota IAEA, telah mengambil pelbagai langkah dan komited sepenuhnya dalam menyokong usaha-usaha untuk mencapai keselamatan nuklear global.

Katanya antara langkah yang telah diambil adalah "memuktamadkan undang-unadng domestik bagi ratifikasi, dalam tahun ini, bagi Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear dan pindaannya, Konvensyen Antarabangsa Bagi Membanteras Perbuatan Keganasan Nuklear dan protokal tambahan IAEA."

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga telah menubuhkan makmal pengesanan keselamatan nuklear yang menumpukan pada penyenggaraan dan konfigurasi alat pengesanan radiasi di bawah Pusat Sokongan Keselamatan Nuklear Malaysia dengan kerjasama IAEA, yang diluluskan pada Februari lepas.

Ia juga telah memasang alat pengesanan radiasi di semua pintu masuk dan keluar di Malaysia, katanya.