SEREMBAN: Negeri Sembilan Food Festival atau lebih dikenali sebagai NS Fest kembali dianjurkan dengan sasaran 300,000 pengunjung bermula 28 hingga 31 Julai ini di Dataran Nilai.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selepas penganjuran kali pertama pada 2019, NS Fest 2022 akan digabungkan dengan pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPN NS) dan Arena Usahawan.

Beliau berkata sasaran pengunjung adalah penduduk di negeri ini serta mereka yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur bagi sama-sama memeriahkan festival kali ini.

"Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai makanan tradisional Negeri Sembilan, buah-buahan dan produk tempatan lain sepanjang festival diadakan.

"Selain itu, sebanyak 250 reruai disediakan melibatkan HPPN NS, Arena Usahawan serta daripada agensi negeri dan Persekutuan," katanya kepada pemberita pada sidang media Prapelancaran NS Fest 2022 di Wisma Negeri di sini semalam.

Menurutnya seramai 80 usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) daripada sektor pemakanan, perkhidmatan, tekstil dan peruncitan akan terbabit dalam pameran Arena Usahawan.

Bagi pameran HPPN NS pula, Aminuddin berkata penampilan lembu 'sado' bakal menjadi tarikan kepada pengunjung selain memperkenalkan buah nangka berasal dari Jempol iaitu sejenis nangka baharu didaftar sebagai J41.

"Selain gerai jualan dan pameran, NS Fest 2022 juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti Forum Perdana, demonstrasi masakan oleh chef terkenal dan muzikal Adat Perpatih," katanya.

-- BERNAMA