PORT DICKSON: Sebarang keputusan mengenai status ajaran dan kepercayaan yang diamalkan oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) hanya akan dibuat setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Tuanku Munawir serta Undang Yang Empat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya perlu mendapatkan pandangan daripada Jabatan Mufti dan Majlis Fatwa negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Insya-Allah, Khamis ini akan ada Mesyuarat Dewan Keadilan dan kalau ada keputusan kita akan maklumkan kepada semua.

"Kita sedia maklum, tiga negeri telah mengatakan GISB itu seperti al-Arqam dan diharamkan, maksudnya kita pun kena dapat pandangan daripada Jabatan Mufti dan Majlis Fatwa, lepas itu baru kita dapatkan perkenan ke bawah Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat, jadi proses lebih panjang sikit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Daurah Madani Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Negeri Sembilan 2024 di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson.

-- BERNAMA