SEREMBAN: Belanjawan 2025 yang dibentangkan semalam merupakan langkah proaktif Kerajaan Perpaduan bagi membangunkan negara dengan mengangkat kepentingan rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia dilihat tertumpu kepada pengukuhan sektor ekonomi penting yang dijangka memberi hasil kepada negara dan memperbaiki kemudahan asas dalam sektor pendidikan, kesihatan serta keselamatan selain pertanian yang menjurus kepada keterjaminan makanan.

"Kerajaan Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih atas pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melibatkan projek di negeri ini.

"Ia termasuk projek pertanian (peningkatan hasil padi), naik taraf Jalan Bahau-Keratong, projek naik taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah dan pembinaan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Palong 1, Jempol," katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini hari ini.


Justeru beliau berkata kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan berjalan lancar demi kemudahan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata dengan menekankan usaha peningkatan aras lantai dan aras siling ekonomi negara, Belanjawan 2025 merupakan usaha menyeluruh Kerajaan Perpaduan bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara dagang yang mampu bersaing dengan negara lain.

Beliau berkata terdapat usaha lebih praktikal akan dilaksanakan menerusi belanjawan berkenaan terutama dalam menangani kos sara hidup rakyat seperti menaikkan kadar upah pekerja, meningkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah dan meluaskan Inisiatif Bantuan Rakyat melibatkan golongan B40.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM300 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjalin kerjasama projek pertanian termasuk pengeluaran bawang di Perak, ternakan tilapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan

Belanjawan 2025 bertemakan "Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat" merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus dan RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

-- BERNAMA