SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah menunaikan 95 peratus manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang digariskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) meskipun usia pemerintahan baharu mencecah setahun, pada Isnin, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata sebahagian inisiatif di bawah Skim Sejahtera Rakyat itu termasuk bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak negeri yang mendirikan rumah tangga untuk kali pertama dan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas.

Beliau berkata selain itu, kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini juga amat baik, sekali gus membantu kepada pembangunan ekonomi yang lebih pesat selain menarik kedatangan pelabur.

"Pembangunan yang ada hari ini adalah atas kerjasama yang erat bagi memastikan Negeri Sembilan terus berjaya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sini semalam.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) sebelum ini menawarkan 70 inisiatif di bawah 10 teras utama dalam manifestonya untuk rakyat Negeri Sembilan termasuk pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat, pertanian, kebajikan, tanah serta perumahan.

Ditanya mengenai penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam, Aminuddin berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan akan mengikuti sepenuhnya keputusan kerajaan Persekutuan.

"Dalam Konsultasi Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri baru-baru ini, kita ada bincang perkara itu sebelum sebarang keputusan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, pada majlis hari ini, beliau berkata seramai 180 pelajar cemerlang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM900,000.

Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini telah memperuntukkan RM2.42 juta insentif bagi tahun ini kepada 484 siswazah cemerlang melalui Yayasan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA