Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan meneruskan perjuangannya menjaga kebajikan pelajar-pelajar Melayu di negara ini.

"Selamat ulang tahun ke-65, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Teruskan perjuangan menjaga kebajikan pelajar-pelajar Melayu di Malaysia," kata perdana menteri dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Dalam laman sosial Facebook beliau pula, Najib melahirkan penghargaan kepada generasi yang telah mengasas dan memperjuangkan cita-cita pertubuhan itu.

"Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan ucapan terima kasih kepada generasi yang telah mengasas dan memperjuangkan cita-cita GPMS serta generasi muda yang sedang dan akan meneruskan perjuangan ini, saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan GPMS.

"Semoga perjuangan ini diberkati," katanya.

GPMS ditubuhkan pada 14 Ogos 1948 untuk mengatasi kemunduran bangsa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.

Penubuhan GPMS digerakkan oleh enam orang mahasiswa Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward, Singapura.

Mereka diketuai Aminuddin Baki, Abdul Wahab Ariff, Mohd Nor Marahakim, Abdullah Majid, Wan Sulaiman Pawanteh dan seorang siswi perubatan, (Tun Dr) Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.