GOPENG: Seorang lelaki maut manakala isteri dan bayinya berusia empat bulan cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer 303 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini awal pagi Selasa.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut manakala isteri dan bayinya cedera selepas kenderaan mereka terbabas di Lebuhraya Utara Selatan.
  • Mangsa, Mohamad Azlan Kamarulzaman, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri dan bayi mereka mengalami kecederaan.
  • Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.


Dalam kejadian sekitar jam 2.40 pagi itu, mangsa Mohamad Azlan Kamarulzaman, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, nahas turut mengakibatkan isteri mangsa berusia 34 tahun cedera di bahagian kepala, mata dan dagu manakala bayi lelaki mengalami kecederaan dalaman.

Menurutnya, semasa kejadian, tiga beranak yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dalam perjalanan pulang dari Kulim, Kedah ke rumah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan.

"Keadaan itu mengakibatkan MPV mangsa terbabas dan melanggar penghadang besi sebelah kiri laluan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa maut dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Katanya, dua mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian