BANDAR PERMAISURI: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang bergesel dengan motosikal rakannya di Kampung Saujana di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Mohd Zain Mat Dris berkata Ahmad Faris Mohd Azmi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama rakan, juga berusia 20 tahun, menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 di lorong sama dalam perjalanan dari Machang, Kelantan menghala ke Penarik.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila rakan mangsa membrek secara mengejut kerana mengelak sebuah kereta di hadapan mereka yang membelok untuk memasuki simpang di lorong sebelah kanan jalan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang tinggal di kampung sama iaitu Kampung Kemuning, Jalan Bukit Bakar di Machang, Kelantan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa, katanya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA