BANGKOK: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, atas kapasiti beliau sebagai wakil khas kepada Perdana Menteri, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-29 di Bangkok, Thailand dari 18 hingga 19 Nov 2022.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata di bawah kepengerusian Thailand dan dipandu oleh tema 'Open. Connect. Balance', pemimpin ekonomi APEC dijangka menyentuh pelbagai topik bagi mengemudi rantau Asia Pasifik ke arah landasan pemulihan ekonomi yang inklusif, pertumbuhan yang mampan dan seimbang pasca-COVID-19.

"Penglibatan berterusan Malaysia di dalam AELM mencerminkan komitmen jitu negara bagi memacu objektif teras APEC terutamanya dalam mencapai pembangunan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang mampan ke arah kemakmuran rantau Asia-Pasifik," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW), sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun, diadakan dari 14 hingga 19 Nov di Queen Sirikit National Convention Centre (QSNCC) di Bangkok.

Pada 2019, AELW yang dijadualkan di Chile telah dibatalkan kerana protes antikerajaan di seluruh bandar di negara itu. Pada 2020, Malaysia mengadakan AELW secara maya manakala pada 2021, New Zealand sebagai tuan rumah turut mengadakan satu lagi sidang kemuncak maya berikutan COVID-19.

Menurut kenyataan itu, Mohd Zuki dijadualkan menyertai sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC, sesi Dialog Tidak Rasmi Mengenai Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan serta Dialog Bersama Majlis Penasihat Perniagaan (ABAC) APEC.

Pemimpin ekonomi APEC juga akan menghadap Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, kata MITI.

"Di akhir mesyuarat AELM, para pemimpin itu dijangka mengeluarkan Deklarasi Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2022 dan mengesahkan Matlamat Bangkok mengenai Model Ekonomi Bio-Circular-Green yang akan merencana hala tuju rantau Asia-Pasifik ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif.

Sementara itu, Kementerian Luar Thailand berkata sebagai tuan rumah bagi sidang kemuncak tahun ini, Thailand mengalu-alukan pemimpin dan wakil daripada 21 ekonomi, termasuk Presiden China Xi Jinping dan Naib Presiden AS Kamala Harris.

Thailand turut menjemput Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk membincangkan bagaimana APEC dan rakan dagangannya boleh bekerjasama untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan yang mampan di tengah-tengah cabaran ekonomi yang berterusan.

Dua aktiviti penting yang melibatkan pemimpin perniagaan dan belia APEC akan diadakan sempena Sidang Kemuncak AELW - APEC CEO dan APEC Voices of the Future 2022.

-- BERNAMA