PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, berkuat kuasa 12 Ogos 2024.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos 2024.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelantikan itu telah mendapat perkenanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Beliau berpengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Zuki bin Ali atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

“Khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya,” menurut kenyataan tersebut.