Gaji rendah punca simpanan KWSP tidak mencukupi - Pengerusi
Struktur gaji rendah di Malaysia menjadi faktor utama jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mencukupi.
Bernama
Tue Oct 01 2024
Mohd Zuki berkata caruman yang tidak teratur, terutama dalam kalangan mereka yang menceburi ekonomi tidak formal atau ekonomi gig, juga hanya memburukkan lagi keadaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Struktur gaji rendah di Malaysia menjadi faktor utama jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mencukupi.
Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata caruman yang tidak teratur, terutama dalam kalangan mereka yang menceburi ekonomi tidak formal atau ekonomi gig, juga hanya memburukkan lagi keadaan.
"Peralihan yang kian ketara ke arah kerja tidak formal telah menyebabkan semakin kurangnya individu mendapat akses terhadap skim simpanan persaraan rasmi seperti KWSP.
"Ini ditambah lagi dengan tahap celik kewangan agak rendah dan mengehadkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan menabung serta perancangan persaraan," katanya dalam ucapan aluannya pada acara Bulan Celik Kewangan 2024 di sini, hari ini.