PUTRAJAYA: Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan persaraannya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan penjawat awam secara rasmi esok sebagai hadiah istimewa sempena hari kelahirannya pada 11 Ogos ini sepanjang hayatnya.


Ringkasan AI
  • Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) sejak 31 Disember 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung selama dua tahun.
  • Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di beberapa kementerian dan juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.
  • Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar telah dilantik sebagai KSN yang baharu, berkuat kuasa pada 12 Ogos 2024.


Berkongsi momen tersebut pada hari terakhir tugasnya sebagai KSN, Mohd Zuki berkata, beliau cukup berbangga dapat berkhidmat sebagai penjawat awam selama lebih 32 tahun.

“Memang betul sebab hari jadi saya pada 11 Ogos ini.

“Jadi saya rasa itulah hadiah yang paling istimewa buat saya kerana saya berjaya mengakhiri perkhidmatan saya selama 32 tahun sebagai penjawat awam,” ujarnya di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui di Bangunan Perdana Putra Putrajaya ketika mengimbas sesi perakam waktu keluar pada jam 4.50 petang hari ini.

Mohd Zuki, 62, juga bersyukur kerana dapat menimba pengalaman berharga sepanjang tempoh berkhidmat sebagai penjawat awam.

Ia katanya termasuk berkhidmat di bawah pemerintahan dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin merakam terima kasih dan penghargaan saya kepada semua ketua perkhidmatan, ketua setiausaha, pengarah, setiausaha-setiausaha kerajaan negeri, dan Ketua Pegawai Eksekutif badan berkanun di atas komitmen yang diberikan.

“Sudah pastinya ucapan terima kasih daripada saya kepada semua penjawat awam.

“Bagi saya mari lah sama-sama kita melaksanakan tugasan ini dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan inspirasi Kerajaan Madani dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan berhubung jawatan penting yang akan diberikan kepadanya, Mohd Zuki berkata beliau bersedia menggalaskan tanggungjawab atau peranan itu, jika khidmatnya diperlukan.

“Tidak (ini bukan pengakhiran) selagi khidmat kita diperlukan, saya sentiasa bersedia untuk berikan apa juga khidmat nasihat dan pandangan,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mohd Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikan peranan berkenaan.

Mohd Zuki dilantik sebagai KSN sejak 31 Disember 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung semula selama dua tahun.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Pada 7 Ogos lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, dilantik sebagai KSN yang baharu. berkuat kuasa 12 Ogos ini.