VIENTIANE: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) dan beberapa mesyuarat berkaitan yang akan bermula pada 24 Julai sehingga 27 Julai ini di Vientiane, Laos.


Ringkasan AI
  • Penyertaan Malaysia dalam AMM ke-57: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 di Vientiane, Laos, dari 24 hingga 27 Julai.
  • Signifikannya Penyertaan: Penyertaan Malaysia kali ini penting kerana Kuala Lumpur akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di Asia Tenggara.
  • Persediaan dan Penambahbaikan: Malaysia perlu meningkatkan iltizam dan mencontohi keupayaan Laos sebagai Pengerusi ASEAN. Penambahbaikan yang dilakukan oleh Laos dalam membentuk sidang ASEAN yang lebih inklusif dan berdaya saing akan diteruskan oleh Malaysia.


Menurut Duta Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud, penyertaan Malaysia pada kali ini adalah sangat signifikan memandangkan Kuala Lumpur akan menjadi Pengerusi ASEAN untuk edisi 2025 selepas Laos.

‘’Penyertaan Malaysia ke AMM ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

‘’Terutamanya apabila rantau ini menghadapi ketidaktentuan dari aspek keselamatan dan sosio-ekonomi.

‘’Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini juga penting sebagai persediaan Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun hadapan,’’ katanya.

Selain itu, Edi berkata, Malaysia perlu meningkatkan iltizam dan mencontohi keupayaan Laos dalam usaha menjadi Pengerusi ASEAN yang baik tahun hadapan.

Hal ini kerana ujarnya, walaupun berlaku kekangan dalam aspek ekonomi, Vientiane dengan bantuan negara anggota dan dialog mampu menjadi pengerusi yang berwibawa setakat ini.

‘’Pemerhatian saya semasa Laos menjadi Pengerusi setakat ini, tujuh bulan sebagai pengerusi ASEAN, mereka memainkan peranan yang penting walaupun terdapat kekangan daripada segi ekonomi mereka.

‘’Tapi dengan bantuan kerajaan-kerajaan negara-negara ASEAN dan negara-negara dialog, mereka mampu akhirnya melaksanakan sesuatu yang baik.

‘’Selain itu, Laos telah melakukan semampu yang mereka boleh dan mereka juga sememangnya bersedia kerana ini merupakan kali ketiga negara ini menjadi pengerusi ASEAN,'' ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditemui delegasi media Malaysia di Vientiane pada Selasa sempena AMM.

Pada masa sama katanya, penambahbaikan yang dilakukan pihak Laos dalam membentuk sidang ASEAN yang lebih inklusif dan berdaya saing wajar diteruskan Kuala Lumpur kelak.

‘’Dalam aspek perkara lain, sebenarnya banyak penambahbaikan dilakukan Laos dan kita akan sambung usaha ini di peringkat seterusnya sebagai pengerusi ASEAN 2025.

‘’Dan semestinya kita harap dapat kerjasama daripada negara-negara ASEAN yang lain, bersama-sama untuk mencapai kita punya kesepakatan dalam ASEAN,’’ tambahnya.