Mohamad berkata, pihaknya akan mengambil inisiatif melakukan rundingan dengan rakan sejawatnya dari negara itu yang terlebih dahulu akan dimulakan di peringkat operasi sebelum hujung tahun ini dengan terma rujukan yang ditetapkannya.
Menurut Mohamad, berdasarkan laporan Sekretariat ASEAN, pihak junta kini sudah mula tertekan dengan krisis yang berlaku, justeru kini mula berlembut dan cuba berhubung untuk memulakan rundingan.
Katanya, kebanyakan usaha penyelesaian masalah di Myanmar akan dijalankan secara rundingan bersama negara ASEAN melalui Konsensus Lima Perkara (5PC).
5PC selama ini telah menjadi asas yang dipersetujui sejak 2021, namun sehingga kini, tidak banyak perkembangan positif berlaku.
"Alhamdulilah, ini satu perkara yang amat baik kerana dulu mereka tutup pintu terus dan tidak mahu berunding serta berhubung langsung tapi mulai tahun ini, mereka hantar wakil, yang kita benarkan bukan daripada badan politik tapi wakil kerajaan, diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar.
"Jadi, kita nak ambil peluang ini supaya pintu yang terbuka ini, kita nak gunakan supaya dapat berunding dengan mereka dan rundingan bukan satu pihak saja tapi banyak pihak kerana satu pihak saja tidak akan selesaikan masalah di Myanmar kerana masing-masing mengatakan mereka akan menang atau lebih kuat.
"Kita tidak paksa mereka (Myanmar) tetapi mereka yang mahu dan menghantar isyarat bahawa mereka memang tunggu Malaysia untuk berunding," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada delegasi media Malaysia bagi merumuskan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan pada lewat Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua negara ASEAN secara konsisten menyuarakan kebimbangan terhadap krisis di Myanmar pada sidang kemuncak itu, yang kini sudah menjadi krisis serantau.
"Kita bercakap mengenai Gaza tapi pada masa sama, ASEAN juga hadapi isu sama di kawasan kita sendiri.
"Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab berat kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, untuk kita menguruskan isu Myanmar ini," katanya.
Mohamad sebelum ini terus konsisten menyatakan suara Malaysia berkenaan krisis di Myanmar yang berlarutan sejak Februari 2021.
Malah Mohamad sebelum turut menggesa campur tangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan dunia lain bagi sama-sama membantu menyelesaikan konflik di negara tersebut.