MADINAH: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah pada Khamis  bagi membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Mohamad yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 10 hingga 14 Dis, disambut oleh Dr Tawfiq di Al-Masjid Al-Nabawi sekitar pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan (5.20 petang waktu Malaysia).

Terdahulu, kedua-dua menteri turut menunaikan solat Zohor bersama.

Pada Selasa, Mohamad telah bersama-sama mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC) di Riyadh dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud.

SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama serta bertindak sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama, iaitu politik, keselamatan, pertahanan, ketenteraan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam serta pendidikan dan sosiobudaya.

Malaysia dan Arab Saudi turut memperkukuh hubungan dua hala dengan menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) selepas mesyuarat itu.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Arab Saudi dalam kalangan negara ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan nilai perdagangan keseluruhan sebanyak RM50.52 bilion (US$11.06 bilion).

Bagi lapan bulan pertama 2024, perdagangan dua hala telah mencapai RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion).

-- BERNAMA