Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun hubungan diplomatik antara kedua negara ini baru dimeterai secara rasmi semalam, namun hubungan baik antara Malaysia dan Andorra sudah lama terjalin.
"Malaysia mengadakan hubungan diplomatiknya mulai pada hari ini (Rabu) dengan Andorra tetapi hubungan baik antara Malaysia dengan Andorra ini sudah lama terjalin terutamanya dari peringkat perundingan-perundingan dan usaha dalam kita menegakkan keadilan antarabangsa.
"Andorra dan Malaysia ini merupakan negara yang likeminded countries yang sependapat terutamanya dalam bidang berkenaan isu-isu kemanusiaan.
"Andorra merupakan negara yang menyokong kuat (perjuangan Palestin) dan (antara) yang mengutuk kekejaman Israel yang berlaku ke atas rakyat Palestin terutamanya di Gaza,” katanya kepada wartawan, di sini.
Terdahulu, Mohamad beserta delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan delegasi dari Andorra diketuai Menteri Luarnya, Imma Tor Faus pada Majlis Pertukaran Nota Diplomatik menerusi satu acara yang diadakan di Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, pada Rabu.
Selain itu, Mohamad berkata, Malaysia sememangnya mengalu-alukan jalinan diplomatik ini dan menyatakan hasratnya agar hubungan ini dapat diperkemas dan dieratkan lagi.
Dalam perkembangan sama, Andorra sendiri, jelas beliau, turut menyambut baik jalinan diplomatik yang dimeterai.
“Hubungan Malaysia dan Andorra ini memang selalu diadakan, kita punya Wakil Tetap di PBB dengan wakil tetap mereka dan kita saling tolong bantu membantu terutamanya apabila kita adakan usaha untuk kita mendapatkan tempat di beberapa agensi dalam PBB.
"Jadi hubungan diplomatik yang diadakan ini adalah merupakan satu perkara yang amat baik yang ditunggu tunggu oleh Andorra sendiri dan kita jugak mengalu-alukan hubungan dua hala ini dijalinkan secara rasminya pada hari ini.
"Kita berharap supaya hubungan dua hala antara Malaysia dan Andorra ini akan dapat diperkemaskan lagi dapat dieratkan lagi,’’ tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Faus menerusi ucapannya menyatakan bahawa jalinan hubungan diplomatik secara rasmi ini menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah kedua-dua negara.
Kata Faus, dengan jalinan terbaharu ini, Andorra telah melengkapkan jaringan diplomatiknya dengan negara-negara Asia.
Walaupun Malaysia dan Andorra memiliki jarak geografi yang luas, namun ia disatukan menerusi aspirasi yang nilai-nilai yang mengeratkan hubungan kedua-dua negara.
"Prinsip-prinsip yang dikongsi ini menjadikan kerjasama kita penting dalam mendepani cabaran yang kompleks di peringkat global.
"Dalam era keterhubungan ini, kerjasama antarabangsa adalah lebih penting dan siginifikan. Kedua-dua negara, Andorra dan Malaysia komited untuk memupuk sistem multilateral yang lebih inklusif dan berkesan yang memenuhi keperluan dan aspirasi semua rakyatnya.
"Kita semua menyedari bahawa cabaran global memerlukan penyelesaian sceara kolektif dan negara kita telah menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bagi untuk menangani isu-isu ini melalui dialog dan kerjasama,’’ jelas beliau.
Andorra ialah sebuah negara kecil yang tidak mempunyai akses laut, terletak di pergunungan Pyrenees antara Sepanyol dan Perancis.
Ia mempunyai sistem politik yang unik, diperintah oleh dua putera bersama Presiden Perancis dan Uskup Urgell di Sepanyol.
Dengan populasi sekitar 77,000 orang, Andorra mempunyai kepelbagaian bahasa, dengan Catalan sebagai bahasa rasmi, manakala bahasa Sepanyol dan Perancis juga dituturkan secara meluas.